"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"
No.IP anda ialah :

SKMM BERI AMARAN KERAS

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memberi kata dua kepada syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan segera masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus (dropped calls) atau berdepan tindakan undang-undang.
Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM, Datuk Ali Hanafiah berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung masalah itu daripada pengguna dan akan mengambil tindakan segera dengan menjalankan ujian di kawasan-kawasan yang dinyatakan pengadu.
Menurutnya, selepas aduan dan ujian dilakukan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi terlibat dan hasil ujian itu akan dibincangkan bagi mencari jalan penyelesaian.
Tambah beliau, SKMM mengambil perhatian berhubung perkara itu dan syarikat telekomunikasi perlu membuat penjelasan terperinci kepada setiap pelanggan dalam segala hal supaya mereka lebih faham dengan prosedur serta perkhidmatan yang ditawarkan.
1.3 peratus kadar dropped calls
KUALA LUMPUR 19 Dis. – Tahap panggilan telefon mudah alih yang terputus mendadak (dropped calls) bagi tempoh separuh pertama tahun ini adalah pada kadar 1.3 peratus, berbanding standard mandatori kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi sebanyak lima peratus.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memantau laluan penting di ibu negara dengan membuat uji pandu setiap bulan terhadap kadar panggilan terputus.
“Bagi tempoh separuh pertama 2012, tahap panggilan terputus di seluruh negara adalah sekitar 1.3 peratus sahaja. Berdasarkan pengujian di laluan penting pula, kadar panggilan terputus adalah tidak melebihi 2.56 peratus.
“SKMM juga telah menubuhkan jawatankuasa bertindak kualiti perkhidmatan selular di setiap wilayah. Jawatankuasa ini bermesyuarat setiap bulan bagi mengenal pasti penambahbaikan diperlukan untuk mengurangkan panggilan terputus termasuklah memperbaiki kualiti perkhidmatan selular,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Mohd. Khalid Ahmad dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Joseph Salang memberitahu, buat masa ini belum ada standard yang boleh diguna pakai untuk mengelakkan panggilan telefon mudah alih terputus secara tiba-tiba dikenakan caj.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sedia berbincang dengan SKMM untuk memikirkan kaedah mengurangkan caj atau bebanan kepada pelanggan yang menggunakan telefon mudah alih daripada perlu membayar caj apabila berlakunya panggilan terputus secara tiba-tiba.
“Kadangkala masalah berlaku (dropped calls) kerana pengguna sedang bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan lain. Tidak semua tempat mempunyai capaian telefon, ada yang tidak menerimanya, jadi panggilan mudah terputus.
“Sekiranya kita mahukan panggilan terputus ini tidak dicaj atau dalam erti kata lain percuma, amat sukar. Setiap panggilan yang dilakukan dan dijawab oleh individu yang dihubungi dianggap sebagai panggilan berjaya, kita belum ada mekanisme menentukan bagaimana menentukan kadar caj panggilan terputus tetapi sedia berbincang dengan SKMM,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Senator Khoo Soo Seng mengenai mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang sering tergendala, Joseph Salang mengakui memang ada beberapa kawasan mengalami penurunan dari segi mutu perkhidmatan.
Katanya, perkara itu berlaku bertujuan untuk proses penambahbaikan liputan tetapi biasanya tidak mengambil masa terlalu lama sehingga berbulan-bulan.
“Selain itu, beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan telah memperkenalkan kaedah di mana pengguna sesuatu perkhidmatan syarikat telekomunikasi boleh menggunakan nombor sama tetapi dibenarkan memilih atau beralih kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi lain,” ujarnya.

Tiada ulasan: