KUALA LUMPUR - Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 40,637 aduan mengenai pembelian barangan dan perkhidmatan yang membabitkan kerugian RM33.8 juta tahun lepas.
Pengerusi Lembaga Pengarah NCCC Datuk N.Marimuthu berkata aduan itu meningkat 18.2 peratus berbanding 37,216 aduan pada 2009.
"Daripada 40,637 aduan diterima, sebanyak 80 peratus telah dapat diselesaikan iaitu merangkumi kepuasan dan kerugian yang dialami mereka (pengguna)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pelancaran Laporan Tahunan 2011 NCCC, di sini hari ini.
Berdasarkan laporan NCCC 2011, beliau berkata aduan terbanyak iaitu 9,349 adalah melibatkan kategori telekomunikasi maklumat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
"Aduan ini meningkat kerana masyarakat kini banyak menggunakan perkhidmatan internet dan jalur lebar, oleh itu timbul pelbagai masalah terutamanya melibatkan perkhidmatan," katanya.
Kategori produk pengguna pula mencatatkan aduan kedua tertinggi iaitu sebanyak 8,181 kes diikuti  kenderaan (5,292), perkhidmatan kesejahteraan (2,470) dan bekalan elektrik dan tenaga (2,382).
Marimuthu berkata NCCC sentiasa membantu, mendidik, memberikan sokongan dan menjadi pusat penyelesaian aduan pengguna setempat dalam menyelesaikan pertikaian antara pengguna dan industri.
Ditanya mengenai Belanjawan 2013 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat depan, beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengharapkan kerajaan dapat memberi tumpuan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, sektor pertanian, kesihatan, pendidikan dan keselamatan negara.
Laporan Tahunan Aduan NCCC itu, yang kelima dikeluarkan sejak 2006, mengandungi aduan-aduan kepenggunaan.- Bernama