"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"
No.IP anda ialah :

INDUSTRI TELEKOMUNIKASI KIAN PENTING

BIDANG komunikasi mengalami revolusi yang sangat pantas dan menjadi antara bidang yang diberi keutamaan di kebanyakan negara ketika ini terutamanya di rantau Asia.
Mengambil contoh Bangladesh yang merupakan antara negara termiskin di dunia dengan 50 peratus penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, sektor telekomunikasi berkembang sangat pesat mengatasi bidang-bidang industri lain.
Jumlah pengguna rangkaian komunikasi di negara itu meningkat daripada 3.8 juta orang pada 2004 kepada 29.5 juta tahun lalu dengan liputan rangkaian meluas sehingga 97 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya.
Paling menarik, sektor telekomunikasi di Bangladesh menyumbang kepada 6.7 peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) iaitu peningkatan lebih 250 peratus berbanding 2004 yang hanya 2.1 peratus.
Statistik yang dikeluarkan oleh badan penyelidik yang berpangkalan di Norway iaitu Telenor ASA juga mencatatkan angka-angka pertumbuhan yang menarik dalam perkembangan sektor telekomunikasi di Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden, Perhubungan Awam dan Kerajaan, Telenor Asia, Hakon Bruaset Kjol, industri telekomunikasi di Malaysia pada pertengahan 1990 menyaksikan peningkatan kadar pengguna melebihi 50 peratus setiap tahun sebelum bergerak perlahan ketika krisis kegawatan ekonomi Asia pada 1997 dan 1998.
Bagaimanapun tahun lalu, pengguna telekomunikasi di negara ini mencecah sehingga 21 juta orang iaitu kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan penduduk, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ketiga pengguna paling ramai selepas Singapura dan Korea Selatan.
Pada tahun lalu juga, sektor komunikasi menyumbang sebanyak RM21.3 bilion kepada ekonomi negara iaitu kira-kira 3.7 peratus daripada keseluruhan GDP berbanding hanya 15.3 bilion (3.1 peratus GDP) pada 2005.
"Sektor ini di Malaysia juga mendahului kebanyakan negara lain sama ada dari segi pertambahan pengguna atau perkembangan teknologi baru selain telah mewujudkan kira-kira 51,000 peluang pekerjaan sepenuh masa sepanjang tahun lalu," katanya.
Melihat kepada sumbangan besar sektor telekomunikasi terhadap pertumbuhan ekonomi negara yang terlibat dalam kajian ini, jelaslah sektor ini merupakan salah satu cabang penting dalam menyumbang kepada kekukuhan GDP.
Malah kerajaan turut memberi tumpuan penuh kepada pembangunan sektor ini termasuk menerusi penubuhan kementerian khusus iaitu Tenaga, Air dan Komunikasi selain menggerakkan beberapa agenda nasional seperti MyICMS 886.
MyICMS 886 antara lain bertujuan untuk meningkatkan jalur lebar dan 3G, mempromosikan televisyen bergerak dan menyediakan perkhidmatan universal untuk data dan suara di kawasan luar bandar.
Dengan kepadatan pengguna telekomunikasi yang kini mencecah 80 peratus, keadaan ini seolah-olah membayangkan bahawa sektor ini tiada lagi ruang untuk berkembang.
Namun, Pengarah Perhubungan Korporat dan Strategi DiGi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, syarikat Telko melihat perkembangan itu daripada sudut pandangan yang berbeza dan mengambil peluang mempelbagaikan perkhidmatan telekomunikasi melebihi perhubungan suara dan teks semata-mata.
DiGi misalnya, menerusi kerjasama unik dengan Kementerian Kesihatan bakal memperluaskan perhubungan radio di antara ambulans dan hospital di kawasan yang masih belum mempunyai liputan.
"Perkhidmatan lain termasuklah menghulurkan bantuan dengan menambah nilai panggilan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Aceh semasa berlakunya tragedi tsunami pada 2004 bagi membolehkan mereka menghubungi keluarga di sini," ujarnya.
Menilai pola perkembangan sektor telekomunikasi di negara ini serta di negara-negara serantau, jelaslah ia merupakan salah satu cabang industri yang berkembang dengan pesat ketika ini.
Malah di kalangan negara maju, sektor ini diberi ruang yang cukup luas untuk berkembang sekali gus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ekonomi negara berkenaan.
Pastinya sesuatu yang menarik untuk dijangkakan, apakah lagi yang mampu ditawarkan oleh teknologi sektor ini dalam selang masa beberapa tahun akan datang.
Namun perkembangan teknologi ini juga sebenarnya bergantung kepada sejauh mana kesediaan masyarakat Asia termasuk Malaysia bersedia untuk berubah seiring dengan kecanggihan teknologi yang ditawarkan.
Seperti di Malaysia, isu seperti caj tinggi yang dikenakan bagi perkhidmatan tertentu seperti panggilan video, melayari Internet dan sebagainya mungkin menyebabkan perkhidmatan ini walaupun dikomersialkan tetapi kurang mendapat sambutan.
Ironinya di sebalik sekian banyak perkhidmatan telekomunikasi yang boleh dinikmati menerusi telefon bimbit itu diperkenalkan oleh syarikat Telko, rakyat Malaysia lebih selesa menggunakan perkhidmatan biasa iaitu membuat dan menerima panggilan atau menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mungkin ini patut dijadikan cabaran oleh syarikat Telko dan kerajaan seterusnya melipatgandakan usaha menarik minat pengguna untuk meneroka kemampuan dan keseronokan yang ditawarkan oleh industri telekomunikasi.
Selain membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara, perjalanan negara ke arah mencapai negara maju menjelang 2020 juga pasti akan bergerak pada landasan yang tepat dan mudah.

Tiada ulasan: